Thursday, 23 November 2017

Pelangi Disebalik Awan Mendung



Kisah daripada cerpen ini adalah berkaitan tentang ketabahan seorang anak kecil yang berusia 14 tahun. Nama watak yang ditekankan dalam cerpen saya ini ialah Aanas dan Cikgu Izz.  Ibu kandung dan ayah kandungya Aanas telah bercerai. Kesan daripada penceraian itu, Aanas terpaksa tinggal bersama ayahnya dan ibu tiri. Penderitaan hidup Aanas bermula setelah ayahnya berkahwin lagi dan Aanas mempunyai ibu tiri. Hal ini demikian kerana ibu tiri Aanas selalu mendera Aanas dan dia hampir mati dicekik oleh ibu tirinya itu. Ternyata “Bawang Putih Bawang Merah” itu bukan sekadar dongengan. Aanas sering menceritakan masalah yang dihadapinya kepada cikgu Izz. Sungguhpun begitu, Aanas tidak pernah menunjukkan sedikitpun perasaan sedihnya di hadapan guru bahkan dihadapan kawan-kawannya. Perwatakan Aanas yang ceria telah menutupi derita hidupnya.

Sewaktu di perpustakaan, Aanas mendekati cikgu Izz dan menyatakan bahawa ibu tiri dan ayahnya telah bercerai. Riak wajah Aanas kelihatan sangat gembira. Aanas mampu menunaikan hasratnya untuk tinggal di asrama. Sebelum ini, keinginan Aanas selalu ditentang oleh ibu tirinya itu. Cikgu Izz meminta Aanas untuk mendapatkan borang kemasukan asrama daripada Cik Mie (penyelia asrama). Siapa sangka disebalik senyuman anak ini tersembunyi seribu kisah duka yang menyayat hati. Setelah ayahnya bercerai dengan ibu tirinya, Aanas tinggal seorang diri di rumah. Semua perkara diurus olehnya sendiri.

“Habis tu sekarang tinggal dengan siapa?”, tanya Izz. “Sorang-sorang”, dia menjawab sambil senyum. Izz berhenti berjalan dan memandang mukanya. “Siapa sediakan makanan? Siapa kejut pergi sekolah? Siapa jaga kalau sakit?” berjujuk-jujuk soalan daripada Izz. “Sendiri” jawabnya lagi. Mata Izz mulai berkaca setelah mendengar jawapan daripada pelajarnya itu. “Cikgu, saya masuk kelas dulu tau, nanti lambat cikgu marah”. Izz mengangguk perlahan.

Aanas seorang pelajar yang sangat baik, meskipun dia kurang dari segi akademik, dia tetap menghormati guru. Dia juga rajin membantu guru-guru walaupun yang tidak mengajarnya. Ayahnya? Jarang-jarang pulang ke rumah lantaran kesibukan mencari nafkah buat dia enam beradik.

“Cikgu, saya dah boleh masuk asrama Isnin depan, semalam cik Mie bagitahu saya”, Aanas membuka bicara sewaktu kelas KOMSAS. “Peralatan asrama dah siap ke?”, tanya Izz kepada pelajarnya itu. “Kena bawa apa cikgu?”, tanya Aanas dengan berkerut di dahi. Cikgu Izz mengambil sehelai kertas, dan menyenaraikan barang-barang keperluan asrama, lalu Izz berikan kepada Aanas. “Erm baju Melayu mesti tiga ke cikgu? Saya ada satu je”. Cikgu Izz menjawab pertanyaan dia, dengan pertanyaan Izz, “baju raya tahun lepas takkan tak ada?”. ”Dah lama tak ada baju raya cikgu”, Aanas menjawab dengan  jujur. Izz menahan air matanya. “Tak apalah, bawa je yang mana ada”, kata cikgu Izz. “Baju sekolah pun tiga?”, Aanas semakin gelisah. “Kamu ada berapa pasang baju sekolah?”. “Ni je lah satu. Pakai daripada hari Isnin sampai Jumaat”, Aanas memegang kolar bajunya. Memang comot. Kotor. “Duit biasiswa mana?” Izz cuba bertegas. “Mak tiri ambil”. Jawapan anak itu membuat Izz bernafas laju. “Neraka punya mak tiri” bisik hati Izz. Izz bertanya lagi, “Isnin nanti datang asrama dengan apa?”. Lama Aanas termenung, “saya datang dengan basikal saya boleh tak cikgu?”. Mukanya nampak sayu, seperti menahan tangis. Allahu empangan mata Izz pecah! “Ok semua, dah siap latihan cikgu bagi tadi?”, sengaja Izz bertanyakan kelas 2M5 itu tentang latihan yang baru beberapa minit dia beri. Izz berpaling ke arah papan putih. Malu kalau Aanas nampak air matanya itu. “Allahu. Anak. Bagaimana mungkin kau berbasikal dengan beg baju, baldi dan peralatan yang lain? Mana ayah kau. Mana saudara-saudara kau. Anak lain seumur kau masih dibelai dicium ibu ayah. Sedang kau diuji dengan ujian yang tidak padan dengan badan kau nak”, Izz berbisik di dalam hati. Benaran Izz begitu sedih!

Izz memandang wajah Aanas dengan raut wajah yang sedih. Izz terbayang akan nasib anak ini. “Wahai anak. Tatkala aku mengeluh makanan tidak sedap, engkau masih berfikir mahu makan apa hari ini? Tika aku mengeluh pendingin hawa di bilik itu rosak, engkau setiap hari berpanas dan berhujan mengayuh basikal usangmu ke sekolah. Sering juga aku mengeluh tiada baju baru untuk dipakai sedang engkau saban hari menggasak baju yang sama. Apa aku layak untuk mendidik kau nak? Sabar kau menggunung. Semangat kau tinggi melangit. Akhlak kau begitu indah. Allahu. Kau hantar anak ini sebagai tarbiah buat aku. Ampuni aku yang jarang-jarang mengucap syukur atas nikmatmu ya Rabb. Allahuakbar.” Izz berbisik di dalam hatinya.

Anak,
Kita ini miskin harta,
Jangan miskin akhlak.

Biar kurang pandai,
Jangan kurang ajar.

Biar terlebih adab,
Jangan terlebih biadab.

“Semoga kau membesar menjadi seoarang insan berguna. Dijauhkan daripada anasir jahat. Dipelihara Allah sepanjang masa. Tuhan, jagakan dia untukku. Amin” Izz berbisik di dalam hatinya lagi sambil melihat wajah Aanas. Izz membelai dan memeluk Aanas kerana Izz begitu sedih dan juga kagum melihat ketabahan seorang anak kecil. Walaupun hidup serba kekurangan namun ia tidak mematahkan semangat Aanas untuk teruskan belajar. Besar sungguh semangat yang Allah SWT kurniakan pada anak ini.

No comments:

Post a Comment

REFEKSI DIRI MINGGU KEDUA DI USM

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera. Hari ini saya akan mengongsikan pengalaman saya di USM pada minggu yang kedua. SUBJEK PSIKO...