Tuesday, 26 December 2017

PENGALAMAN BARU


CERPEN- PENGALAMAN BARU
PENULIS- ASHIKIN ZAMBRY

 “Birah! Ros!” Ashikin menjerit memanggil nama kawan-kawannya itu daripada jauh. Birah dan Ros berjalan menuju ke arah Ashikin yang sedang menunggu di perhentian bas berhadapan dengan bangunan Sains Kemasyarakatan.
“Hai Ikin.” Ros menyapa Ashikin.
“Jom pergi kelas sekali. Dari tadi aku tunggu korang kat sini. Aku tak tahu makmal bahasa 1 kat mana.” Kata Ashikin dengan raut wajah yang sedih.
“Cik Ikin oi, pagi-pagi ni jangan buat muka sedih, cuba ceria sikit. Kita masuk kelas tak lagi, hang dah buat muka muncung.” Birah menyakat Ashikin.
“Jom masuk kelas, nanti lambat pula.” Ujar Ros. “Hari pertama jangan nak tunjuk belang masuk lewat ke kelas.” Ros memerli Birah dan Ikin.
Ashikin dan kawan-kawannya itu menuju masuk ke makmal bahasa 1. “Nampaknya, banyak juga rupa yang aku kenal ambil major bahasa Melayu ni.” Syikin berbisik dalam hati. Jumlah pelajar Ilmu Kemanusiaan yang mengambil major bahasa Melayu adalah seramai 24 orang. Jumlah yang paling sedikit pada sidang 2017/2018 ini.
 “Pergh, Firdaus Yusof pun ambil major bahasa Melayu, aku ingatkan dia nak ambil major Geografi. Tunggu sekejap!” Ikin tiba-tiba berhenti. Ros dan Birah menuju ke tempat duduk tanpa menghiraukan Syikin yang banyak ragam itu. “Itu bukan Farizzul ke? Budak dekan dengan aku semester lepas. Wow, dia pun ambil major bahasa Melayu, tak sangka betul! Nampak gayanya dia pesaing aku dalam kelas ni. Aih kenapa lah aku perlu bersaing dengan dia dan kenapa la dia perlu ambil major bahasa Melayu? Ashikin masih berbisik dalam hati.
“Oi Cik Ikin, buat apa berdiri tercegat di depan tu? Tempat duduk banyak kat sini, yang nak berdiri di situ buat apa?” Birah menyakat Ashikin.
“Assalamualaikum anakanda semua.” Seorang pensyarah wanita yang berpakaian t-shirt dan berkasut sneakers menuju masuk ke kelas. “Baiklah ini merupakan kelas bagi subjek HMT 213 iaitu komunikasi lisan. Nama saya Dr. Radiah atau kamu semua boleh panggil saya Dr. Odi.” Dr. Odi memperkenalkan diri beliau sambil mengedipkan matanya.
“Wah, aku tengok Dr. Odi ini jenis orang yang santai kan! Tak pernah aku nampak pensyarah yang aktif dan suka bergurau macam ini.” Syikin berbisik kepada Birah dan Ros.
“Itulah, aku pun perhati ja dari tadi. Dr. ni sempoi gila kan dan “sporting” pula tu.” Kata Ros.
“Mengapa saya lihat kamu semua ini diam dan kelihatan pasif sahaja?” tanya Dr. Odi kepada pelajar-pelajarnya.
“Ini adalah kelas komunikasi lisan. Jadi kamu semua perlu aktif dalam komunikasi, jangan diam sahaja.” Kata Dr. Odi. “Disebabkan kamu semua ini terlalu pasif, jadi tugasan kamu semua ialah kamu dikehendaki untuk bercakap dengan pokok yang berada di sekitar USM ini. Pastikan pokok yang anda pilih tidak boleh sama dengan rakan-rakan kamu yang lain. Durasi video ini adalah selama satu minit, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang. Setelah itu, muat naik video tersebut di ‘facebook group’ HMT213.” Dr. Odi mengarah pelajar-pelajarnya untuk melaksanakan tugasan yang diberi.
Kelas menjadi riuh-rendah akibat terkejut mendengar tugasan pelik yang diberikan oleh Dr. Radiah.
“Dr., tugasan ini perlu hantar bila?” tanya Firdaus kepada Dr. Odi.
“Sebelum 12 tengah malam hari ini.” Jawab Dr. Odi.
“Ermm, nak diam sangat dalam kelas. Akhirnya kita semua kena bercakap dengan pokok. Tak pernah aku sembang dengan pokok ni. Tiba-tiba rasa jadi orang gila sekejap.” Syikin merungut kepada kawan-kawannya.
Tugasan yang diberikan oleh Dr. Odi adalah pengalaman baru bagi Ashikin. Sungguhpun tugasan itu sangat pelik, tetapi ternyata ia berkesan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi Ashikin dalam kelas. Bukan hanya Ashikin sahaja malah, rakan-rakannya juga semakin aktif dalam kelas. Walaupun bercakap dengan pokok kelihatan gila, tetapi ia agak menyeronokkan kerana mereka dapat meluahkan masalah yang terpendam dalam diri. Sungguhpun perkara tersebut tidak dapat menyelesaikan masalah mereka sedikitpun tetapi sekurang-kurangnya tekanan mereka dapat dikurangkan. Apabila tekanan atau stres berkurang, pelajar dapat memikirkan jalan penyelesaian bagi setiap masalah yang mereka hadapi dengan lebih jelas.
**********************
“Wahai kawan-kawan yang Mal kasihi dan lagi Mal sayangi, Dr. Odi mesej, katanya beliau lambat sedikit. Jadi, Dr. minta wakil seorang daripada kita untuk mengambil kunci makmal bahasa di pusat sumber.” Mal menyampaikan mesej yang diterimanya kepada kawan-kawan. Mal merupakan seorang pelajar yang aktif dalam Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Sains Malaysia. Bukan itu sahaja, perwatakannya yang ceria dan suka berceloteh selalu membangkitkan suasana yang suram di dalam kelas.
“Saya nak tanya sikit, tugasan Dr. Odi beri semalam semua dah siap ke? Tanya Asmah kepada kawan-kawannya.
“Dah.” Semua menjawabnya dengan serentak.
Tiba-tiba Dr. Odi melangkah masuk ke dalam kelas. “Baiklah seperti biasa sebelum kita mulakan kuliah pada hari ini, mari kita mulakan dengan selawat nabi dan ummul kitab”. Kata Dr. Odi.
“Dr. Odi lepas ini tugasan apa pula yang Dr. Odi nak beri?” Mal menyakat Dr. Odi.
Semua ketawa selepas mendengar pertanyaan Mal itu.
“Tugasan jangan susah-susah Dr. Odi.” Ujar syikin dengan nada manja.
“Tugasan ini tidak susah. Senior kamu pernah buat dan ini merupakan tugasan wajib dalam kursus ini. Kalau senior kamu dapat tahu kamu tidak melakukan tugasan ini seperti mereka, saya akan dianggap tidak adil.” Jelas Dr. Odi kepada pelajar-pelajarnya itu.
“Serius bunyinya tu. Tertanya-tanya pula saya”. Kata Firdaus Yusof.
“Lain macam ja bunyinya tu Dr. Odi.” Ujar Syikin dengan reaksi muka yang tidak sabar mendengar tugasan yang bakal diberi oleh Dr. Odi
“Baiklah tugasannya adalah pelajar lelaki dikehendaki untuk mengambil gambar di tesco sambil memegang pakaian dalam wanita dan begitu juga dengan pelajar perempuan dikehendaki untuk mengambil gambar sambil memegang pakaian dalam lelaki. Kemudian muat naik dalam ‘FB group’ HMT 213’.” Dr. Odi menjelaskan tugasan yang perlu dilakukan oleh pelajar-pelajarnya itu.
“Allahu, Dr. Odi tugasan apakah ini? Kenapa perlu pegang pakaian dalam lelaki pula?” tanya Birah kepada Dr. Odi dengan nada yang sebak.
“Hahahahaha.” Firdaus Yusof hanya mampu ketawa dan tidak boleh berkata apa-apa apabila mendengar tugasan yang diberikan oleh Dr. Odi itu.
“Wajib kena pegang ke Dr.?” tanya Aiman kepada Dr. Odi. Aiman merupakan salah seorang Qari dalam kelas tersebut.
“Saya beri tugasan ini bukannya saja-saja dan bukan juga untuk memalukan kamu. Saya buat semua ini ada sebabnya. Kamu semua perlu melaksanakan tugasan ini terlebih dahulu, kemudian saya akan memberitahu sebab mengapa saya menyuruh kamu melakukan hal yang sedemikian? Sebelum saya memberitahu apa sebabnya, saya hendak kamu fikir sendiri apakah objektif saya menyuruh kamu melakukan tugasan ini?” jelas Dr. Odi.
Selepas kelas berakhir, Ashikin dan kawan-kawan berbincang mengenai tugasan yang diberi oleh Dr. Odi sebentar tadi. Ashikin membuat keputusan untuk pergi secara rombongan ke tesco untuk mengelakkan rasa malu. Keputusan yang dibuat mendapat persetujuan ramai.
“Walaupun malu, kita berjaya juga siapkan tugasan Dr. Odi yang pelik ni kan. Tiba-tiba rasa ketagih nak bergambar dengan seluar dalam lagi.” Ikin bergurau dengan rakan-rakannya.
“Ikin, jangan gila sangat. Ermm, difikir-fikir apakah motif Dr. Odi suruh kita buat macam ni eh?” tanya Ros.
“Aku pun tiada idea la nak menjawab pertanyaan hang Ros”. Jawab Birah yang sedang kebingungan itu.
“Aku perasan sejak masuk semester 3 ni dan sejak kita kenal Dr. Odi banyak perkara baru yang kita belajar kan. Kita melakukan perkara yang tak pernah kita buat sebelum ini. Korang perasan tak?” tanya Ashikin kepada kawan-kawannya.
“Perasan. Semua ni merupakan pengalaman baru kita. Mungkin ada hikmahnya mengapa Allah tetapkan kita dalam major bahasa Melayu ini?” jelas Asmah.
*******************
“Bagaimana? Adakah kamu semua sudah mendapat jawapan berkenaan dengan tugasan yang saya beri semalam? Apakah sebab saya menyuruh kamu semua melakukan hal yang sedemikian?” tanya Dr. Radiah.
“Pada pendapat saya, mungkin dengan cara ini kami dapat mengatasi perasaan malu apabila berhadapan dengan khalayak ramai.” jawab Ashikin dengan penuh teragak-agak.
“Sebenarnya, saya menyuruh kamu semua melakukan semua ini kerana saya mempunyai pengalaman iaitu ketika arwah ayah saya terpaksa dibawa ke hospital dan pada ketika itu saya sedang bertugas di luar. Jadi saya mendapat panggilan daripada ibu saya. Ibu saya menyuruh saya melihat keadaan ayah saya di hospital dan membawa barang keperluannya. Ibu saya mempunyai masalah sedikit seperti trauma untuk datang ke hospital. Pada ketika itu saya berada di luar, jadi saya terpaksa pergi ke pasar raya untuk membeli pakaian dalam ayah saya. Pada ketika saya tidak tahu saiz pakaian dalam ayah saya. Jadi saya buntu untuk memilih saiz. Perasaan malu memang tidak ada pada waktu itu sebab saya pun hendak cepat. Jadi saya pun belilah pakaian dalam untuk ayah saya dan saya sangat bersyukur kerana arwah ayah saya jenis tidak merungut, jadi dia pakai apa-apa sahaja yang saya belikan. Kesimpulannya, saya menyuruh kamu semua melakukan ini sebagai persediaan jika terjadi apa-apa pada keluarga kamu suatu hari nanti. Suatu hari kamu juga akan merasakan berada di tempat saya. Jika hari itu datang, adakah kamu tahu saiz pakaian dalam ibu bapa kamu? Jika berlaku kecemasan, bagaimana kamu hendak sediakan keperluan mereka jika kamu tidak tahu dan memiliki perasaan malu untuk membelinya? Jelas Dr. Odi.
Tiba-tiba suasana di dalam kelas berubah menjadi sayu. Cerita Dr. Odi itu membuatkan Ashikin terkenangkan arwah ayahnya dahulu yang berada di hospital. Walaupun tugasan yang diberikan oleh Dr. Odi agak pelik tetapi ia memberi pengajaran yang bermakna kepada pelajar-pelajarnya.
******************
“Ampa lepas ni pergi mana?” tanya Ashikin kepada Adila dan Shamin.
“Kami nak pergi makan ni.” jawab Adila.
“Eemm tak pa la pergi dulu. Aku ada hal kat foyer ni”. Balas Ashikin.
“Ok bye. Jumpa esok” Ujar Shamin.
Ashikin berjalan sendirian di foyer yang berdekatan dengan Perpustakaan Hamzah Sendut 1. Sambil Ashikin berjalan, tiba-tiba dia berhenti di hadapan booth pelajar-pelajar cina yang berada di foyer tersebut. Di booth tersebut, pelajar cina sedang melakukan aktiviti iaitu mengukir kaligrafi peribahasa cina.
“Macam menarik ja. Aku teringin nak mencubanya. Selalu aku tengok dalam TV ja mereka ukir dengan memakai berus itu. Aku ingin mencuba sekali dalam seumur hidup aku mengukir dengan memakai berus itu. Ramai yang cakap susah dan perlukan kemahiran yang tinggi untuk membuat kaligrafi” Ikin berbicara di dalam hati. “Tidak mengapalah aku tetap hendak mencuba, bak kata Dr.Odi kita perlu ‘explore’ sesuatu yang baharu.” Ashikin tetapkan pendiriannya untuk mencuba mengukir kaligrafi peribahasa cina itu.
“Hello, saya ingin mencuba mengukir kaligrafi ini boleh?” Ashikin mendekati pelajar cina yang menjaga booth tersebut.
“Hai, boleh. Awak perlu bayar RM2 terlebih dahulu.” Kata pelajar cina itu.
Ashikin menghulurkan wang kepada pelajar cina itu.
“Bolehkah saya tahu, kaligrafi cina ini berkenaan dengan apa?” tanya Ikin kepada pelajar cina itu sambil mengukir kaligrafi tersebut di atas kertas yang disediakan.
“Kaligrafi peribahasa cina ini bertemakan tentang rindu”. Jelas pelajar cina itu.
“Rindu. Wah!” Ikin tertarik dengan tema yang diucapkan oleh gadis cina itu.
“Boleh saya tahu apakah maksud peribahasa cina yang sedang saya ukir ini?” tanya Ashikin dengan riak wajah yang ingin tahu maksud peribahasa tersebut dengan lebih mendalam.
“Peribahasa ini menceritakan tentang kerinduan seseorang. Sehari tidak berjumpa ibarat 3 musim. Seseorang akan mengukirkan kerinduan mereka pada tulang dan hati mereka. Apabila melihat sang bulan, membuatkan seseorang itu terkenang kepada insan dicintai yang berada jauh beribu-ribu batu.” Jelas gadis cina itu.
“Wah, indahnya peribahasa ini.” Balas Ashikin.
Ashikin gembira meluangkan masanya dengan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini.
“Ternyata mengukir kaligrafi ini agak susah, tetapi ia menyeronokkan.” Kata Ashikin.
“Ia benar. Saya sendiri juga tidak mahir dalam mengukir kaligrafi ini. Terima kasih kerana mencubanya.” Gadis itu membalas pernyataan Ashikin dengan nada yang lemah lembut dan sopan.
****************

TAMAT

No comments:

Post a Comment

REFEKSI DIRI MINGGU KEDUA DI USM

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera. Hari ini saya akan mengongsikan pengalaman saya di USM pada minggu yang kedua. SUBJEK PSIKO...