Tuesday 26 December 2017

CERPEN- POPULARNYA AKU

Image may contain: 3 people, text

CERPEN- POPULARNYA AKU
Penulis- Ashikin Zambry

“Ring….! Ring…..!” Jam loceng berdering. Jam menunjukkan pukul 5:30 pagi.
“Syikin bangun! Bangun cepat, nanti kita lambat turun roll call!” Jerit Sakinah sambil mengejut Ashikin kawan sebiliknya itu.
Ashikin dan Sakinah merupakan pelajar Universiti Sains Malaysia. Mereka berdua bergiat aktif dalam Angkatan Pertahanan Awam atau lebih dikenali sebagai SISPA USM. Namun begitu, mereka berdua mempunyai perbezaannya iaitu dari segi pemilihan major. Sakinah memilih untuk meneruskan pelajarannya dengan bermajorkan geografi manakala Ashikin bermajorkan bahasa Melayu.
“Aihh, aku paling tak suka hari rabu. Pagi-pagi buta dah kena turun roll call di Padang Kawad ni.” Syikin merungut.
“Kau ni, kalau malas sangat ‘drop’ sahaja SISPA. Aku pun tak perlu sakitkan anak tekak aku untuk kejutkan kau yang susah bangun ni tiap-tiap pagi.” Sakinah menyakat Ashikin. Sakinah mengetahui bahawa sahabat baiknya itu terpaksa menyertai SISPA hanya kerana untuk mendapatkan desasiswa bukan kerana minat.
“Untungnya aku, memiliki sahabat yang terlebih jujur macam kau ni.” Syikin menyakat kawannya semula.
Setelah selesai roll call pagi, Ashikin bergegas pergi ke kelas. Sepanjang semester 3 ini, jadual Ashikin penuh dengan kelas pagi sahaja. Jadi sebagai seorang ratu tidur (gelaran yang diberi kepada Ashikin di kampung) Ashikin tidak mempunyai masa untuk beradu.
******************
Jam menunjukkan pada pukul 7:15 pagi.
“Awal pula aku datang ke kelas hari ni.” Ashikin membebel seorang diri. Keadaan persekitaran di makmal bahasa sunyi sepi. Ashikin duduk bersila di hadapan makmal bahasa tersebut sambil menunggu kehadiran rakan-rakannya yang lain. Selang beberapa minit, muncul seseorang yang dinanti-nanti iaitu Dr. Odi pensyarah bagi subjek HMT213 Komunikasi Lisan.
“Syikin. Awalnya kamu sampai.” Dr. Odi menegur Syikin yang sedang menunggu keseorangan di situ.
“Saya awal sebab saya ada roll call pagi hari ni.”Ikin menjawab pertanyaan Dr.Odi.
“Jadi disebabkan kamu dan saya terlebih awal hari ini, jom kita pergi makan di Restoran Subaidah. Kita pi pekena roti canai dengan teh tarik. Saya lapar la. Penat saya ‘drive’ dari Taiping ke Penang.” Dr. Odi mengajak Ashikin makan bersamanya dengan rungutan yang manja.
Ashikin dan Dr.Odi menuju ke Restoran Subaidah yang berdekatan dengan makmal bahasa tersebut.
“Syikin, awak nak makan apa? Saya belanja awak hari ini.” Tanya Dr.Odi kepada pelajarnya itu.
“Roti canai dengan teh panas je la.” Balas Ashikin.
Sambil menunggu kawan-kawannya yang lain, Ashikin meluangkan masa dengan pensyarahnya itu. Ashikin berasa terharu dan gembira dapat meluangkan masa bersama dengan pensyarahnya. Selama setahun dia belajar di Universiti Sains Malaysia, belum pernah sekali pun dia rapat dengan pensyarah apatah lagi makan berdua. Ini merupakan kenangan pertamanya sepanjang dia belajar di Universiti Sains Malaysia. Dr. Radiah atau dikenali sebagai Dr.Odi merupakan seorang pensyarah yang berperwatakan ceria dan santai sehingga membuatkan pelajar-pelajarnya gemar untuk mendekatinya dan ingin mengetahui tentang dirinya dengan lebih mendalam.
“Syikin, jom kita berswafoto dan masukkan gambar kita ke dalam ‘whatsapp group’. Kita tunjukkan situasi kita kepada mereka yang datang lambat itu.” Kata Dr. Odi. Dr. Odi suka bergurau dan menyakat pelajar-pelajarnya. Antara pelajar yang suka disakatnya tiap-tiap hari adalah Ashikin.
“Jom-jom. Dr.Odi ni kelakar la.” Balas Ashikin yang menerima ajakan pensyarahnya itu untuk berswafoto.
Kemudian Ashikin memuat naik gambar tersebut ke dalam ‘whatsapps group’.
“Dr. Odi mereka semua dah sampai di makmal bahasa”. Ashikin memberitahu Dr.Odi setelah mendapat tahu rakan-rakannya yang lain menunggu kehadiran mereka berdua.
“Jom-jom”. Sahut Dr.odi.
*******************
“Assalamualaikum anakanda semua. Semua hadir ka? Siapakah yang tidak hadir pada hari ini? Tanya Dr. Odi kepada pelajar-pelajarnya.
“Semua hadir Dr.Odi”. Semua menjawabnya dengan serentak.
“Baiklah, sebelum kita mulakan kelas kita pada hari ini, mari kita mulakan dengan selawat Nabi dan ummul kitab.” Jelas Dr.Odi.
“Adakah kamu semua sudah melengkapkan fail kursus untuk Jilid 1?” tanya Dr.Odi.
“Sudah”. Azizah menjawab pertanyaan pensyarahnya itu.
“Jika semua sudah lengkap, sila hantarkan fail kamu semua di hadapan meja saya”. Dr.Odi mengarah pelajar-pelajarnya dengan nada yang lembut.
“Farizzul, selama ini saya perhatikan kamu sahaja. Mengapa kamu suka mendiamkan diri?” Tanya Dr.Odi kepada salah seorang pelajarnya yang sering tampak pendiam di dalam kelas.
“Mana ada Dr. Odi, dia nampak je pendiam tapi dia diam-diam ubi berisi. Sekali dia bersuara habis bernanah telinga.” Syikin menyampuk.
“Aih Syikin, nampak gayanya kamu ni memahami betul sikap Farizzul. Terima kasih kerana kamu telah memberi ilham kepada saya?” Dr. Odi menyakat Ashikin.
Tiba-tiba kelas menjadi riuh-rendah. Kawan sekelas memerhati Ashikin yang telah menyumbang ilham kepada Dr. Odi. Ilham Dr.Odi merupakan tugasan yang besar yang perlu dipikul oleh pelajar-pelajarnya. Setiap ilham yang dilontarkan akan menjurus pelajar membuat perkara yang belum pernah dilakukan oleh mereka sebelum ini.
“Baiklah, ini merupakan tugasan satu kelas. Kamu semua dikehendaki untuk membuat sebuah drama pendek dan watak utamanya ialah Farizzul dan Syikin.” Jelas Dr.Odi.
“Alamak, Dr. Odi jangan buat saya macam ni, saya tak pandai nak berlakon drama cinta-cinta ni.”Ashikin merayu supaya Dr.Odi menarik semula tugasan yang telah beliau berikan.
“Dr. Odi yang kusayang Farrizul tak sesuai memegang watak seperti ini, dia kekok dan watak ini tak kena gayanya.” Birah menyampuk perbualan Ashikin dengan Dr.Odi.
“Aihh, Birah juga memahami Farizzul. Rupanya ada cinta tiga segi dalam kelas ini.” Dr. Odi menyakat Birah. “Baiklah, pembetulan bagi tugasan tadi, kamu semua dikehendaki untuk membuat sebuah drama pendek dan watak utamanya ialah Syikin, Farizzul dan Birah.” Dr. Odi menambah semula arahannya.
“Ya Allah, Dr. Odi kenapa saya pula yang kena?” Tanya Birah
“Dah kamu juga memahami Farrizul”. Dr. Odi menyakat Birah lagi.
“Dr. Odi sebenarnya saya hanyalah orang ketiga di antara Birah dan Zul.”Ashikin memberi penjelasan kepada Dr. Odi.
“Saya tidak kisah siapakah yang akan menjadi milik Zul, yang pastinya kamu semua perlu hasilkan sebuah drama pendek. Ini adalah tugasan satu kelas jangan kamu semua abaikan tugasan ini pula, apabila saya tuju kepada mereka bertiga sahaja, faham. Kemudian muat naik video ini di Youtube”. Dr. Odi menekankan semula tugasan yang perlu dilaksanakan oleh pelajar-pelajarnya.
Zul memerhati Ashikin dengan renungan yang tajam. Kelas menjadi riuh-rendah disebabkan oleh Ashikin yang memberi ilham kepada Dr. Odi.
“Jangan pandang aku macam tu.” Kata Ashikin dengan nada yang penuh rasa bersalah apabila Zul memerhati Ashikin dengan renungan seperti haiwan yang sedang mencari mangsanya.
***************
“Syikin, kau nak pergi mana pagi-pagi ni? Tanya Sakinah. “Hari cuti pun bangun pagi. Tiada beza langsung hari cuti dengan hari tak cuti. Betul la orang kata major bahasa Melayu ni tiada ‘life’. Kesian betul ‘roomate’ aku sorang ni”. Sakinah mula menyakat Ashikin.
“Kau ni, sehari kalau tak menyakitkan hati aku memang tidak sah kan. For your information, roommate kau ni dah jadi artis memang tiada masa la nak duduk dalam bilik, jadual padat dengan shooting ja.” Balas Ashikin dengan gayanya yang gedik kerana terlalu sakit hati dengan Sakinah yang suka menyakatnya.
“Wah, kawan aku jadi artis. Makin popular la kau lepas ni. Erm tapi aku nak tahu juga la watak apa yang kau pegang? Kejap-kejap, sebelum kau jawab soalan aku tu biar aku teka terlebih dahulu watak apa yang sesuai dengan kau ni?”
Watak apa yang sesuai dengan aku?” Tanya Ashikin yang rasa ingin tahu jawapan daripada Sakinah.
“Dari segi penampilan kau, aku rasa kau layak pegang watak mak cik ‘cleaner’ dan watak pembantu rumah. Watak tu ja yang sesuai dengan kau.” Jawab Sakinah. Ashikin terus menarik muka setelah mendengar jawapan yang tidak ingin didengarinya. Sakinah ketawa apabila melihat reaksi Ashikin yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberi.
“Kurang asam kau, macam ni ka ‘member’. Bukannya nak sokong aku, menganjing aku kot atas ada la.” Ashikin merajuk sambil membaling bantal miliknya ke arah Sakinah.
“Ala aku bergurau je la. Aku bangga dapat kawan yang berbakat macam kau ni. Lepas ni dah popular jangan lupa aku sudah la.” Sakinah memujuk Ashikin yang sedang merajuk.
“Popular la sangat. Gaya kau cakap macam aku berlakon dalam drama tv3 ja, aku berlakon untuk laksanakan tugasan aku ja pun. Aku dah la tak reti berlakon. Jom aku dah lambat ni.” Ujar Ashikin.
“Hati-hati. Jatuh bangun sendiri.” Sakinah masih menyakat kawan baiknya itu.
*************
Pelajar-pelajar kursus HMT 213 Komunikasi Lisan berkumpul di Astaka Padang Kawad untuk membincangkan tentang penghasilan drama pendek.
“Kita nak buat cerita mengenai apa?” Ros melontarkan pertanyaannya kepada kawan-kawannya yang berada di situ.
“Dr. suruh kita buat drama cinta tiga segi kan.” Kata Mal yang mengimbas kembali tugasan yang diberikan oleh Dr.Odi.
“Ya, kita perlu buat drama cinta 3 segi. Kita perlu fikirkan idea yang bernas untuk menghasilkan sebuah drama yang hebat supaya penonton menjadi lebih tertarik untuk melihat drama kita ini.” Kata Birah yang bersemangat untuk menghasilkan drama yang mantap.
“Mana Ashikin ni?” tanya Ros yang sedang mencari Ashikin dari tadi.
“Maaf korang aku lambat. Ada hal yang perlu diuruskan tadi.” Kata Ashikin dengan suara yang rendah kerana dia rasa bersalah membuat kawan-kawannya menunggu.
“Dah ada tajuk ke untuk drama kita ni?” kata Ashikin.
“Jalan cerita pun tak tahu, ni kan pula nak ada tajuk.” Jawab Firdaus Yusof dengan nada yang tinggi.
“Ala tanya ja pun. Jangan la marah” Ashikin membalasnya dengan nada yang tidak berpuas hati.
Hubungan antara Ashikin dan Firdaus Yusof bagaikan anjing dan kucing. Pantang berjumpa pasti ada sahaja perkara yang akan membuatkan mereka berdua ini bergaduh.
“Apa kata kita buat seperti filem Hindustan berkenaan dengan sahabat dan cinta tetapi kita olah sedikit cerita dia tu, ok tak?” Ashikin memberitahu pendapatnya.
“Filem Hindustan yang mana?” Tanya Shima.
“Ala cerita Hritik Roshan tu, apa nama filem dia?” Ashikin berusaha mengingat semula nama filem yang dikemukakannya sebentar tadi.
“Mujhse Dosti Karoge, betul tak?” Syida membantu Ashikin yang sedang kebingungan mencari jawapan yang belum ditemui.
“Ha’a betul tu. Filem tu la. Terima kasih Syida kerana membantu. Layan juga Syida filem Hindustan.” Kata Ashikin.
“Boleh juga tu. Apabila aku dengar pendapat kau tu, aku tiba-tiba ada idea untuk meletakkan tajuk pada drama pendek kita ni.” Adila tiba-tiba bersuara.
“Apa tajuknya?” tanya Birah yang tidak sabar mendengar tajuk yang bakal dicadangkan oleh Adila.
“Tajuknya ialah Dia Sahabat Dia Cinta.” Adila memberi jawapannya.
“Wah, menarik juga nama tajuk ini.” Ros tertarik dengan tajuk yang dicadangkan oleh Adila itu.
“Apa kata kita letak tajuk Cik Silat Isteriku?” Firdaus Yusof tiba-tiba memberi cadangan. Tetapi sayang cadangannya itu tidak diterima oleh semua orang. Ashikin ketawa apabila melihat reaksi Firdaus apabila diabaikan oleh kawan-kawan. Firdaus kelihatan syok sendiri. Kemarahan Firdaus membuak-buak apabila melihat Ashikin mentertawakannya. Riak wajah Firdaus yang marah itu tidak diendahkan langsung oleh Ashikin.
“Birah disebabkan hang pun watak utama dalam drama ini, aku cadangkan hang jadi pengarah filem. Sebelum ini, dalam video ‘Karenah Seorang Pelajar’ aku dah pegang jawatan sebagai pengarah. Jadi untuk drama ini hang pula jadi pengarah. Jangan risau aku akan membantu hang. Skrip kita fikir sama-sama.” Ashikin melantik Birah sebagai pengarah filem bagi drama pendek Dia Sahabat Dia Cinta.
***************
Proses membuat filem ini memakan selama 2 minggu. Pada awalnya, mereka ini tidak tahu berlakon tetapi pada akhirnya mereka berjaya menghasilkan drama cinta yang hebat
“Akhirnya siap juga drama kita ni kan. Aku rasa bangga dengan diri aku sebab sebelum ini aku rasa aku tidak mampu tetapi ternyata aku mampu. Aku tiba-tiba rasa minat untuk menjadi seorang pelakon yang terkenal.” Kata Ashikin dengan bersemangat.
“Hang seronok la, sebab ada orang puji hang berjaya memegang watak antagonis yang hebat.” Kata Ros kepada Ashikin yang sedang bergembira itu.
“Ros, kadang-kadang kita ni boleh bangkit kerana pujian orang. Tambah-tambah lagi Ustaz Farid puji lakonan aku, lagi 100 peratus aku bersemangat. Ini kerana pujian mereka tu bagaikan pembakar semangat aku untuk berkecimpung dalam bidang lakonan ini. Kalau hinaan sekalipun yang aku dapat, aku akan mengubah kesilapan aku dan aku akan cuba untuk bangkit sendiri.” Ujar Ashikin dengan panjang lebar.
Gaya Ashikin yang gedik itu terselah apabila menyebut nama Ustaz Farid sehingga membuatkan Birah, Ros dan Adila rasa menyampah. Ustaz Farid merupakan pensyarah bagi kursus pengajian Islam. Beliau mempunyai perwatakan yang baik dan jujur. Tambahan pula, Ustaz Farid adalah seorang pensyarah yang kacak dan mempunyai senyuman yang manis sehingga mampu mencairkan hati pelajar perempuan di USM.
“Korang perlu berterima kasih kepada aku juga. Kalau bukan disebabkan kamera aku, drama kita ni tidak akan berjaya dihasilkan dengan baik dan cantik.” Kata Adila yang ingin dirinya juga turut dipuji.
“Ye la cik Adila. Kau memang penyunting yang hebat.” Birah memuji Adila.
“Aku juga ingin mengucapkan tahniah kepada pengarah kita iaitu Birah kerana dapat menghasilkan jalan cerita yang menarik. Bukan itu sahaja, aku pun tak percaya drama kita mempunyai jumlah penonton yang ramai sehingga hampir mencecah 2k ‘views’.” Kata Ashikin.
“Terima kasih cik Ashikin. Tapi korang jangan lupa drama ini bukan terhasil kerana kita sahaja, kawan-kawan sekelas kita juga turut menyumbang tenaga dan idea mereka dalam drama ini. Kalau tiada mereka, tidak sempurna juga drama kita ini.” Birah nasihat kawan-kawannya itu.
“Aku tak sangka Zul pandai juga berlakon. Aku nak tergelak apabila melihat drama tu semula ketika Zul marah hang Ikin. Sanggup Zul marah sahabat dia hanya kerana cinta.” Kata Ros sambil ketawa apabila mengingat semula drama Dia Sahabat Dia Cinta.
****************
Ashikin berjalan menuju ke cafe siswa untuk mencari makanan.  Ashikin membeli nasi lemak dan air mineral. Dia duduk bersendirian di meja bahagian belakang. Kawan-kawannya yang lain belum sampai kerana kebanyakan daripada mereka tinggal di luar USM dan berkenderaan sendiri. Mulanya semester 3 ini, Syikin banyak menghabiskan waktunya dengan bersendirian. Dahulunya, Ashikin dan kawan-kawan pergi ke kelas bersama-sama dengan menaiki bas tetapi sekarang tidak lagi. Ashikin menikmati sarapan paginya itu, tiba-tiba dua orang perempuan datang mendekatinya.
“Tumpang tanya, awak ke yang berlakon dalam drama Dia Sahabat Dia Cinta yang memegang watak antagonis tu” tanya perempuan itu kepada Ashikin.
Ashikin kebingungan kerana dia tidak mengenali perempuan itu.
“Ya saya. Errrmm kenapa ya?” tanya Ashikin dengan perasaan was-was dengan kehadiran perempuan itu.
“Ouh jadi betul la, saya ingatkan saya salah orang. Saya ada menonton drama awak itu di Youtube. Saya suka cara awak curahkan air kepada kawan awak. Nampaklah awak berjaya memegang watak jahat itu.” kata perempuan itu sambil menceritakan semula kisah yang berlaku dalam drama Dia Sahabat Dia Cinta.
“Terima kasih kerana menontonnya. Lagipun banyak lagi yang saya perlu belajar contohnya dari segi reaksi muka dan sebagainya.” Kata Ashikin. Mereka berbual rancak di Cafe Siswa.
“Ya Allah, tiba-tba rasa popularnya aku. Orang yang aku tak kenal datang menegur aku. Perkara yang mengejutkan aku adalah orang luar sudah mulai mengenali aku disebabkan oleh drama tersebut. Terasa macam artis pula. Dahulunya aku sendiri, kini aku semakin dikenali” Bisik Syikin di dalam hati. “Awak jumpa nanti la ye, saya ada kelas lepas ini” Ashikin meminta izin untuk berlalu pergi.
“Jumpa lagi ye artis” kata perempuan itu.
Kata-kata perempuan itu membuatkan Ashikin tersenyum lebar. Kata-kata itu juga menjadi pembakar semangat kepada Ashikin untuk meneruskan minatnya dalam bidang lakonan.
**************

TAMAT

No comments:

Post a Comment

REFEKSI DIRI MINGGU KEDUA DI USM

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera. Hari ini saya akan mengongsikan pengalaman saya di USM pada minggu yang kedua. SUBJEK PSIKO...