Thursday 14 December 2017

PERIBAHASA

ASAL USUL PERIBAHASA SEPERTI KACANG LUPAKAN KULIT

Image result for wallpaper kacang lupakan kulit Related image

Peribahasa merupakan suatu kiasan atau bunga bahasa dalam kata-kata yang mampu menggambarkan sesuatu maksud yang tertentu. Maksud yang dibawa itu berlainan daripada makna asal. Menurut Harun Mat Piah (1989), beliau menyatakan peribahasa ialah ungkapan peribahasa yang terdiri sekurang-kurangnya dua keratan yang sejajar, baik dalam sebaris atau lebih. Kemungkinan baris-baris itu tidak berhubungan dari segi rima tetapi terjalin dalam hubungan yang seimbang, iaitu sebagai pembanding atau pelengkap kepada yang lain. Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya. Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sebahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.

Peribahasa Melayu dikatakan diwarisi daripada nenek moyang kita pada zaman dahulu. Peribahasa di katakan lahir dari masyarakat Melayu atas keinginan masyarakat untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Pada zaman dahulu, undang-undang untuk mengawal perilaku masyarakat belum wujud sehinggakan banyak kesalahan yang dilakukan masyarakat. Masyarakat yang mempunyai ilmu pada ketika itu telah mencipta pelbagai petua, nasihat atau petunjuk sebagai peraturan tatatertib pergaulan, tatasusila dalam pergaulan dalam hubungan sesama manusia. Petua, nasihat dan petunjuk tersebut diambil daripada alam sekeliling contohnya daripada sifat manusia itu sendiri, sifat dan tabiat binatang, sifat tumbuh-tumbuhan dan sebagainya. Petua yang diperolehi itu kemudiannya diperhaluskan lagi penggunaan bahasanya supaya ia sedap didengar tetapi masih mempunyai maksud teguran yang mendalam. Keadaan ini bertujuan untuk mengelak daripada menyinggung perasaan dan membuatkan orang tersebut marah. Peribahasa inilah yang digunakan untuk menegur dan mengawal masyarakat pada zaman dahulu. Bagi masyarakat yang memahami teguran menggunakan peribahasa ini, mereka akan insaf atas kesalahannya dan tidak lagi melakukannya kerana teguran yang disampaikan melalui peribahasa ini akan meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati orang yang di tegur, walaupun bahasa yang digunakan itu merupakan bahasa yang lembut.

Di sinilah tertonjolnya sifat peribahasa yang menunjukkan identiti budaya Melayu yang sudah disebut sebelum ini. Di sinilah juga tertonjolnya sifat kepengarangan yang lain dan yang menunjukkan identiti barunya, termasuk peribahasa yang berasal dari pantun, syair atau hikayat yang sudah disebut sebelum ini. Sifat lain yang penting di sini ialah struktur peribahasa yang mantap perlu dijaga. Contohnya “Kacang lupakan kulit” tidak boleh diubah kepada “Kulit dilupakan oleh kacang” atau “Lupanya kacang pada kulit”. Kebolehan mengarang adalah bakat istimewa yang dipunyai pengarang yang tertentu sahaja di satu pihak, dan kemahiran telah dikuasai dengan cara mempelajari teknik yang berkenaan dan berlatih menggunakannya.

Kacang lupakan kulit merupakan satu peribahasa Melayu yang terkenal dan diajar semenjak bangku sekolah rendah lagi. Peribahasa lama ini membawa maksud iaitu "Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan". Apakah kaitan peribahasa ini dalam sektor pertanian dan bagaimana peribahasa ini dibina oleh bijak pandai bahasa Melayu zaman dulu? Peribahasa Seperti Kacang Lupakan Kulit dikaitkan dengan orang yang dilupakan setelah menolongnya apabila mereka telah mendapat kesenangan. Ramai dalam kalangan orang besar dan orang yang berjaya dalam karier atau perniagaan lupa kepada orang yang telah membantu sebelum mereka berjaya. Ini mungkin berlaku disebabkan sikap lupakan diri seperti peribahasa kacang lupakan kulit. Kacang tanah atau kacang-kacangan lain lazimnya dijual setelah dikeluarkan daripada lengainya (pod) dan dijual dalam bentuk 'loose'. Ia akan dimasak untuk pelbagai jenis makanan dan lazimnya memang orang tidak tahu kulitnya berada di mana.

Selain itu peribahasa juga berfungsi sebagai alat pendidikan. Dengan menggunakan peribahasa, sesuatu ilmu dan pengajaran dapat di sampaikan secara langsung kepada masyarakat kerana sifatnya yang fleksibel dan dapat digunakan dalam pelbagai keadaan. Contohnya peribahasa “kacang lupa akan kulitnya” yang membawa maksud orang yang telah mencapai kesenangan tidak lagi mengingat asal usulnya dahulu. Peribahasa ini mengajar kita supaya kita sentiasa mengingat asal kita yang dahulunya dan tidak bersikap sombong kepada orang. Contohnya seperti kisah Si Tanggang, Malim Kundang dan Nakhoda Manis yang melupakan asal usul mereka setelah mereka kaya.




No comments:

Post a Comment

REFEKSI DIRI MINGGU KEDUA DI USM

Assalamualaikum wbt dan Salam sejahtera. Hari ini saya akan mengongsikan pengalaman saya di USM pada minggu yang kedua. SUBJEK PSIKO...